23 January 2011

Karguzari Jemaah Terengganu & Pelajar UMT - Husnul Khatimah di Jalan Allah

Pesanan Hadraji Maulana Muhammad In’amul Hasan Rahmatullah’alaih: 1. Sibukkan dirimu dalam usaha agama; jika tidak kamu pun akan sibuk tapi bukan dalam agama. 2. Gunakan waktumu untuk agama; jika tidak waktu pun akan habis tapi bukan untuk agama. 3. Gunakan hartamu untuk agama; jika tidak harta pun akan habis tapi bukan untuk agama. 4. Mati lah kamu dalam agama; jika tidak kamu pun akan mati tapi bukan untuk agama.


Karguzari (laporan) ini disampaikan oleh beberapa rakan seusaha yang turut bersama menguruskan jenazah allahyarham Muhammad Huzaifah, 21. Huzaifah merupakan pelajar Universiti Malaysia Terengganu berasal dari Sabak Bernam, Selangor.

Jemaah 40 hari daripada Terengganu ini telah diputuskan di Masjid Jamek Bandar Sri Petaling untuk buat usaha dakwah & tabligh di Sandakan, Sabah. Jemaah seramai 10 orang terdiri 5 orang awam dan lima lagi lagi pelajar UMT, selamat tiba di lapangan terbang Sandakan pada hari Rabu malam Khamis, 28hb April 2010. Jemaah kemudian dihantar ke Masjid Pangeran Hj. Galpam, Batu 7 buat sementara waktu yang juga merupakan marhalah seorang daripada syura Sandakan, Hj. Mohd Zain.



View Larger Map


Pada pagi hari Jumaat bersamaan 30hb April 2010, jemaah telah berangkat ke daerah Pamol, kawasan perladangan Kelapa Sawit terancang yang jauh jarak perjalanannya daripada bandar Sandakan sekitar dalam 150 km. Di daerah ini ada 13 buah kampung. Kelazimannya, jemaah 40 hari yang bergerak di Sandakan akan buat usaha sama ada di kawasan bandar, kepulauan-kepulauan sekitar, daerah-daerah kecil dan kawasan pedalaman mengikut keputusan yang telah dimesyuaratkan bersama oleh syura tempatan atas kesediaan jemaah. Memandangkan jemaah telah diputuskan ke daerah ini, kemungkinan besar juga jemaah ini akan buat usaha dakwah & tabligh di daerah berdekatan iaitu Telupid. Di daerah ini berlaku kes murtad dan beberapa rombongan jemaah daripada Semenanjung telah dihantar ke sana termasuklah jemaah daripada Batu Pahat pada akhir tahun lepas.


Detik-detik kematian Allahyarham..

Rakan Huzaifah, Fadhil, yang turut bersama jemaah ini telah ditanya oleh Datuk Hj. Abdul Rahman di Masjid Pangeran Hj. Galpam berkenaan kejadian yang menimpa allahyarham. Dia menceritakan pada pagi Selasa 4hb Mei 2010, Huzaifah diberi tanggungjawab untuk memberi bayan selepas solat fardhu subuh berjemaah. Kemudian kesemua mereka bermesyuarat untuk mengagih-agihkan tugasan pada hari itu. Setelah mesyuarat dan beberapa waktu ketika, mereka (pelajar) seramai 5 orang pergi ke sungai berhampiran untuk mandi kerana simpanan air di surau amat terhad untuk kegunaan wudhu dan lainnya. Pada waktu awal pagi itu yang masih berembun (suasana pedalaman), mereka kesemuanya turun ke tebing sungai yang mana ketinggian paras air di tebing sungai itu sahaja pun sudah separas dada. Mereka termasuk Huzaifah cuba berenang menyeberangi sungai ke tebing bersebelahan. Setelah hampir di pertengahan, mereka memutuskan untuk kembali semula ke tebing kerana sungai itu amat dalam. Huzaifah tertinggal di belakang dan lemas tenggelam. Rakan mereka menyangkakan Huzaifah bergurau kerana kali terakhir mereka melihatnya sebelum tenggelam, dia masih kelihatan tersenyum seolah tiada apa-apa yang berlaku. Setelah dua minit berlalu, barulah mereka risau kerana tidak melihatnya. Pada pagi itu juga, ada beberapa pelajar sekolah menengah yang berjalan kaki berhampiran sungai untuk ke sekolah. Dengan kehendak dan kerahiman Allah SWT, pelajar-pelajar sekolah ini membantu rakan jemaah mengeluarkan Huzaifah dari dasar sungai. Dalam usaha menyelamatkannya dengan menekan pada dadanya, air berserta lumpur keluar daripada mulutnya dan tidak dapat diselamatkan lagi. انّا للہ و انّا الیہ راجعون

Jemaah telah pergi ke balai polis berdekatan dan melaporkan kejadian ini. Akhirnya, pegawai polis yang telah diberi tanggungjawab, menghantar jenazah ke Hospital Duchess of Kent di bandar Sandakan dengan menaiki jeep untuk mendapatkan pemeriksaan lanjutan daripada pihak hospital. Dua orang daripada jemaah ikut serta, seorang rakan seusaha tempatan yang nusrah jemaah ini dan seorang lagi rakan allahyarham, Fadhil. Hj. Darwis yang juga merupakan syura Sandakan dan seorang doktor di hospital tersebut, mendapat perkhabaran ini dan kemudiannya menyebarkan berita ini kepada rakan seusaha yang lain. Hari selasa malam rabu merupakan malam mesyuarat mingguan usaha dakwah & tabligh di Sandakan. Takaza ini dibentangkan dalam mesyuarat supaya pengurusan jenazah dilakukan dengan kadar segera dan dihantar ke pangkuan keluarganya di Sabak Bernam, Selangor. Tugasan telah diagih-agihkankan kepada rakan seusaha yang bersedia menyambut tazaka ini, daripada hal pengurusan jenazah di bilik mayat hospital termasuklah mengkafan dan menyembahyangnya sehinggalah pengurusan kargo di lapangan terbang Sandakan.


Rabu, 5hb Mei 2010..

Selepas solat subuh berjemaah, rakan seusaha yang telah diberi tanggungjawab, pergi ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent. Semasa allahyarham dikeluarkan daripada peti sejuk mayat, beberapa rakan seusaha mengangkat jenazahnya. Seorang daripada mereka menceritakan, jenazahnya sangat ringan dan lembut tidak kaku seperti orang yang masih hidup. Wajah dan tubuhnya kelihatan berpeluh, seperti baru sahaja mandi. Tubuhnya masih dalam kemerah-kemerahan. Allahyarham dimandi dan dikafankan, kemudian disembahyangkan oleh rakan seusaha yang ramainya dalam sekitar 30 orang di tempat khas. Jenazah juga disembahyangkan oleh beberapa rakan seusaha yang lain selepas itu. Hj. Lakariba (syura Sandakan) tidak menahan esak tangis semasa menyembahyangkan jenazah. Sementara menunggu pegawai kementerian kesihatan pada pagi itu, Hj. Lakariba membuka semula kafan allahyarham dan melihat wajahnya, sekali lagi Hj. Lakariba menangis. Rakan seusaha yang lain mengatakan, wajah allahyarham tenang dan tampak keputihan seperti diletakkan cairan lilin pada permukaan wajahnya. سُبْحَانَ اللّهِ

Pada pukul 9 pagi, pegawai daripada Kementerian Kesihatan datang dan menguruskan jenazah. Pemeriksaan pada tubuh allahyarham dilakukan, keranda dipakukan pada empat penjuru, dibungkus dengan canvas dan diberi cop/seal sebagai tanda sudah diberi pengesahan. Lebih kurang sejam selepas itu, barulah jenazah dihantar ke lapangan terbang Sandakan. Fadhil rakan pelajar allahyarham yang turut keluar 40 hari bersama, menaiki kapal terbang ke KLIA menghantar jenazah allahyarham. Diberitakan oleh rakan seusaha, pengurusan jenazah teratur dan lancar/dimudahkan oleh Allah. Semasa menghantar jenazah allahyarham, tiada lampu isyarat merah melambatkan perjalanan. Allahyarham kembali ke rahmatullah pada waktu pagi, keesokan paginya juga jenazah dapat dihantar ke Semenanjung.

Sedikit karguzari daripada Faiez Yemeny di FB, group Umat akhir Zaman, beliau mengatakan bahawa Huzaifah masih menuntut di Universiti Malaysia Terengganu(UMT), dia seorang yang amat peramah, sentiasa tersenyum, fikirman dan karkun lama dikalangan pelajar. Walaupun sudah dua hari berlalu, darah di hidung dan mulutnya masih lagi mengalir, muka tenang dan jernih.

Sebelum Huzaifah berangkat bersama jemaah ke Pamol, dia sempat memberi sepucuk surat kepada Cikgu Juswan (rakan seusaha Masjid Pangeran Hj.Galpam) untuk dihantar kepada keluarganya di Sabak Bernam. Semoga Allah SWT mengurniakan pahala Syahid kepada allahyarham, diberi ganjaran SyurgaNya tanpa Hisab, diberi kesabaran kepada ayah bondanya dan mempertemukan kita dan beliau di Syurga Firdaus bersama dengan para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin. Amin Ya Rabbal Èalamin.


:: Lanjutan karguzari berserta gambar allahyarham Huzaifah setibanya di Masjid Sri Petaling, Insya'Allah ada di  kekoh.blogspot.com/mati-syahid

:: Entry ulangan bertujuan mewujudkan gambar thumbnail seperti di bawah.


Wallahu a’lam.
komen
2 komen

2 komen:

Anak Pendang Sekeluarga said...

Jemput ke blog saya,semoga saya dapat kongsi dengan tuan artikel berkaitan doa vs orang zalim di blog saya.

karguzaridakwahiman said...

@Anak Pendang Sekeluarga :c:

 

Karguzari Dakwah: Usaha atas Iman, tema asal Empty Canvas. Makhluk dicipta, tidak berdaya dan tidak kekal.