29 November 2010

Karguzari Hidayah: Jemaah Khuruj ke Jerman

Di Ijtima Malaysia 2009, Maulana Muhammad Saad ada berkata di dalam bayannya, "Umumiat ialah setiap orang jadi daie. Apabila usaha dakwah dilakukan secara umumiat, pintu orang masuk Islam terbuka luas dan pintu untuk orang Islam keluar dari Islam tertutup rapat. Bila usaha dakwah tidak dijalankan, pintu untuk orang Islam keluar Islam terbuka luas dan pintu untuk orang bukan Islam masuk Islam tertutup rapat."


1) Karguzari Jemaah Negara Jauh, Mei 1993.


Merupakan jemaah pertama daripada Malaysia pergi ke Jerman. Sebelum jemaah ini pergi ke Jerman, mereka telah ditashkil ke England dan berkesempatan membuat jord(perhimpunan) di Dewsbury. 10 jemaah tunai dapat dibentuk bagi memenuhi takaza agama di sekitar Eropah dan Amerika seperti Surinam, Holland, France dan South Africa. Jemaah ini mengatakan, penduduk Islam di sini terdiri drpd 99 buah negara yang terdiri daripada Morocco, Algeria, Tunisia, Somalia, Sudan, Nigeria, Pakistan, Bangladesh dan lain-lain. Malahan pernah satu ketika di dalam majlis bayan mereka, orang yang duduk dengar bayan berasal daripada 12 negara yang berlainan. Karguzari jemaah ini;

1. Di setiap masjid yang kami pergi, ada saja orang masuk Islam dan sepanjang tashkil kami, seramai 14 orang telah masuk Islam dan 3 daripadanya jemaah sendiri yang ajar mereka ucap syahadah. Boleh dikatakan setiap hari di Jerman ini ada org masuk Islam. Ada yang kami jumpa 2 adik beradik abangnya berumur 18 tahun dan adik perempuannya berumur 15 tahun telah secara sembunyi-sembunyi masuk Islam dari pengetahun ibu bapanya dan dia telah buat ta'lim secara sembunyi bersama adiknya. Apabila dia pergi ke masjid, dia akan memasukkan baju 'kurta'nya(jubah) ke dalam seluar(tuck in) untuk mengelakkan ibu bapanya daripada mengetahui yang dia telah masuk Islam.

2. Ada satu lagi yang kami jumpa, di mana hasratnya yang ingin hendak masuk Islam menyebabkan dia telah pergi ke sebuah masjid dan bertanya tentang Islam tetapi apa yang diberitahu oleh pihak masjid, "kamu pergilah sendiri ke Mekah untuk belajar Islam", dan dia amat kecewa sekali dengan jawapan yang diberikan. Walaupun begitu, dia pergi lagi ke sebuah masjid di mana dia lihat orang di sana bertelagah sesama sendiri dan ini membuatkan dia berasa bingung. Akhir sekali, dia pergi ke sebuah masjid yang mana tempat jemaah berkumpul dan dia telah terpegun melihat orang daripada berbilang bangsa dan termasuk jemaah kami orang Malaysia berada di situ dalam keadaan satu hati dan kasih sayang antara satu sama lain dan dia pun berfikir inilah orang Islam yang sebenarnya, maka dia pun dapat hidayat.

3. Di satu lagi tempat di Germany(Dusseldorf), kami telah berjumpa dua adik-beradik yang telah memeluk Islam yang mana emak mereka adalah orang kristian Kadazan(Sabah) dan bapanya adalah orang Jerman. Kedua-dua mereka ini baru setahun masuk Islam dan Alhamdulillah, mereka telah banyak belajar tentang Islam dan berpakaian 'full-sunnah'. Sekarang si abangnya sedang mendapatkan passport untuk keluar 4 bulan dan adiknya akan keluar 40 hari dalam masa terdekat. Kesan daripada akhlak mereka berdua, emak mereka akhirnya telah memeluk Islam pada 9 bulan yang lepas selepas bapanya meninggal dunia. Walau bagaimanapun, mereka amat bersedih kerana ayah mereka mati tanpa kalimah Laa Ilaha Ilallah.

4. Satu karguzari jemaah Bangladesh yang keluar di Jerman yang mana satu orang pun dalam jemaah itu tidak tahu berbahasa Inggeris apatah lagi berbahasa Jerman. Tetapi dengan fikir dan risau mereka, setiap orang yang mereka jumpa, mereka telah gunakan bahasa mereka sendiri sehingga dalam satu umumi jaulah yang mereka buat, seramai 22 orang Jerman kulit putih telah ikut mereka pergi ke masjid dan masuk Islam.

Surat kepada markaz Malaysia ~ pautan



2) Karguzari Jemaah Masturat,  Nov 2010.


Merupakan jemaah masturat Malaysia yang pertama dibentuk ke Jerman dan khuruj selama 2 bulan. Jemaah mereka tiba Airport Schipol, Amsterdam, Holland pada pagi Jumaat 5 November 2010 dan seterusnya bergerak ke Deusseldolf, Bonn, Dortmund, Cologne di Germany untuk buat usaha dakwah dan tabligh. Pada 26hb Nov, jemaah berangkat semula ke Holland.

Ustaz Hambali menceritakan ketika berada di Dortmund; "Di masjid kami menginap terdapat dua orang yang baru masuk Islam setibanya kami di sini. Mereka mendapat hidayat melalui 'jaulah/ gasht' yang di jalankan di masjid ini. Seorang berbangsa Portugal manakala seorang berbangsa Albania. Di sini cukup mujahadah ketika jaulah di jalankan antara Maghrib dan Isya. Ini adalah kerana cuaca sejuk di luar telah makin meningkat sehingga 0. Kesejukan pada waktu pagi makin meningkat sehingg -5 dan salji telah mula turun di sini."


Karguzari hidayah di Koln (Cologne) Germany;

1. Pertama seorang perempuan Albania yang beragama Kristian. Kisahnya begini, tuan rumah yang kami menginap, ke luar sekejap untuk urusan membeli barangan makanan jemaah. Beliau terperangkap di dalam kesesakan jalan dan berpusing mencari jalan pulang sehinggakan tiga laluan berlainan, namun masih terperangkap di dalam kesesakan. Beliau membuat keputusan untuk mengisi minyak di salah satu stesen Petrol. Ketika mengisi minyak, wanita Albania ini menahan beliau dan menyatakan bahawa beliau ingin memeluk agama Islam. Beliau langsung membawa wanita ini ke program bersama dengan wanita kami (jemaah masturat). Sesampainya beliau di tempat masturat berada, solat Maghrib hampir bermula. Selepas solat, bayan pun bermula di masjid. Bayan langsung kedengaran sehingga ke atas rumah berkenaan untuk didengari oleh jemaah wanita. Wanita Albania ini akhirnya memeluk agama Islam selepas program pada malam tersebut. Selepas memeluk Islam, dia meminta dipakaikan tudung bagi menutup auratnya apabila dia ingin bergerak pulang. SubhanAllah !

2. Kisah ke dua pula seorang lelaki Turki. Beliau di bawa oleh seorang rakan seusaha ke majlis bayan mingguan. Selepas bayan iaitu selepas tashkil dibuat beliau menceritakan bahawa inilah kali pertama di dalam hidupnya beliau merasai ketenangan dan beliau begitu yakin dengan Islam berbanding Kristian. Rupanya beliau telah lama mendekati ajaran Kristian dan hampir-hampir memeluk agama tersebut. Kawannya yang juga adalah rakan seusaha menahannya berbuat demikian namun beliau nekad untuk memeluk agama Kristian. Alhamdulillah, apabila dipelawa dan berada bersama jemaah, beliau benar-benar berubah.


Ustaz Hambali juga beri sedikit karguzari; pernah seorang yang baru memeluk agama Islam memberi bayan di Markaz Nizamuddin ketika zaman Maulana Inamul Hassan menjadi amir. Katanya di dalam bayannya,”Sebab apa orang-orang kafir sekarang ini memusuhi orang-orang Islam?” Ia bertanya dan ia juga yang menjawab, “ Ianya adalah seumpama dua orang kaya, seorang sangat pemurah. Selalu memberi sedekah dan hadiah kepada orang-orang miskin dan orang ramai, maka ia disukai dan disayangi oleh orang miskin dan orang ramai. Sebaliknya seorang lagi adalah kedekut serta mengaut kekayaan peribadi serta mengenepikan orang miskin dan orang ramai, maka ianya dibenci oleh mereka semua. Begitulah perumpamaan orang Islam hari ini, mereka mempunyai kalimah yang sangat berharga dan bernilai, namun bersifat kedekut dengan tidak mahu mendakwahkan kalimah berkenaan kepada orang kafir. Hasilnya orang-orang kafir memusuhi dan membenci orang-orang Islam.”

Karguzari masturat ~ pautan


Semoga kita dapat mengambil iktibar, amal dan sampaikan. Wallahu a'lam.
komen
0 komen

0 komen:

 

Karguzari Dakwah: Usaha atas Iman, tema asal Empty Canvas. Makhluk dicipta, tidak berdaya dan tidak kekal.